Dalam membesarkan anak-anak, papa dan mama disarankan menerapkan disiplin kepada mereka. Mendidik anak menggunakan nilai disiplin mampu mengawal tingkah laku dan membentuk mereka menjadi anak yang berakhlak.
Namun dalam kita menerapkan nilai disiplin pada mereka jangan abaikan beberapa perkara yang mungkin akan membantutkan usaha mendisiplinkan anak.
Apakah kesilapan yang tanpa sengaja dilakukan oleh ibu bapa dan tidak selari dengan nilai disiplin yang ingin diajarkan kepada anak?
1. Tidak hormat anak
Kita selalu pesan pada anak supaya menghormati papa dan mama, jangan ganggu ketika anda sedang sibuk bekerja, bersopan dengan tetamu yang datang ke rumah dan macam-macam lagi. Tetapi dalam masa yang sama kita langsung tidak menghormati anak. Contohnya, kita memarahi anak di depan tetamu atau membandingkan dia dengan anak orang lain. Sepatutnya cara terbaik mengajar anak bersopan dan menghormati orang adalah dengan menunjukkannya contoh.
2. Tidak konsisten
Kadangkala anda menegur dan memarahi anak kerana menyepahkan mainannya, tetapi esok anda buat tak tahu sahaja kalau dia masih lagi menyepah. Namun, hari seterusnya anda kembali marah anak. Anak akan jadi keliru dan bingung dengan perintah anda yang tidak konsisten. Sepatutnya anda bantu anak untuk memperbaiki tingkah lakunya dengan memberikan tunjuk ajar yang jelas tentang apa yang anda harapkan.
3. Kuat membebel
Apabila anda menegur anak sambil marah tentang perbuatannya, anda cenderung menengkingnya sambil membebel perkara yang tidak penting. Kadangkala mengungkit kesalahannya yang lepas atau tingkah lakunya yang buruk. Tambah teruk bila hari tersebut anda sedang 'bad mood', maka kesalahan anak yang tiada kaitan pada hari itu turut menjadi bahan melepas kemarahan anda.
4. Penjelasan panjang lebar
Kemampuan daya fokus kanak-kanak usia 3 - 4 tahun hanya sekitar 5 - 10 minit sahaja. Jadi, buang masa sahaja kalau anda memarahi dan menasihatkannya secara panjang lebar hingga kepenatan kerana anak tidak akan fokus pada apa yang anda katakan.
5. Bukan menghukum
Mungkin ada yang beranggapan disiplin adalah menghukum anak. Sebenarnya mendisiplinkan anak adalah keupayaan anda mendidik anak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengelakkan mereka dari dihukum. Tujuan utama disiplin diterapkan adalah untuk mengajar anak belajar menjadi individu yang boleh mengikut peraturan yang ditetapkan.
6. Beza ucapan dan perbuatan
Ini selalu berlaku tetapi tidak disedari oleh papa dan mama, bahkan diperhatikan oleh si anak. Anda larang anak menjerit-jerit dalam rumah, tapi dengan nada suara yang tinggi. Anda menyuruhnya makan di meja makan tetapi anda sendiri makan di depan televisyen. Anda menyuruhnya mengemas mainan, tetapi anda meletakkan barangan sendiri bersepah-sepah di atas meja. Jadi, siapa yang bersalah?
Tujuan kita mengajar anak disiplin supaya mereka membesar sebagai anak yang baik, mematuhi peraturan baik di rumah atau di mana-mana, dan menjadi individu yang penuh nilai empati. Tetapi papa dan mama juga perlu menunjukkan disiplin yang telah diajarkan.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY
No comments:
Post a Comment