Wednesday, 8 March 2017

6 Kelebihan Mengukus Sayuran Untuk Si Manja. Elak Hilang Khasiatnya!


Biasanya bila hendak menyediakan masakan untuk bayi yang baru belajar makan kita lebih banyak menggunakan kaedah memasak secara rebus. Kaedah ini digunakan semasa hendak membuat puri sayur-sayuran atau buah-buahan.
Sayur dan buah yang selalu terlibat adalah brokoli, bayam, lobak merah, keledek, epal, pir dan sebagainya. Ibu-ibu tentu sangat prihatin dalam bab memilih makanan yang berkhasiat untuk anak-anak.
Namun, kadangkala kita terlupa tentang proses memasaknya yang boleh menghilangkan segala khasiat sekaligus menyebabkan anak yang makan langsung tidak memperoleh sebarang zat yang ada dalam sayur dan buah yang dimasak.
Proses merebus dan mengukus makanan mempunyai perbezaan dalam hal mengekalkan khasiat makanan tersebut.
Merebus
1. Proses ini melibatkan hubungan antara air dan sayuran atau buah. Menurut pakar, proses merebus boleh menyebabkan berlaku tarikan pada sebatian aktif yang ada dalam sayur dan buah. Akibatnya, beberapa kandungan khasiat dari bahan yang direbus akan hilang.
2. Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Nutrition, mendidihkan makanan (kajian menggunakan brokoli atau bayam) menyebabkan kehilangan folat sehingga 50%. Ia turut boleh menghilangkan kandungan vitamin C dan beberapa vitamin B yang memang bersifat larut air.

3. Merebus juga dipercayai dapat menghilangkan lebih banyak antioksida kerana beberapa sebatian melawan penyakit larut dalam air panas.
4. Merebus makanan terlalu lama, boleh melarutkan sebatian vitamin dan mineral dalam air yang mendidih.
5. Menurut kajian diterbitkan oleh Journal of Agricultural and Food Chemistry, Amerika Syarikat, mendidihkan bahan makanan terutama sayuran dapat menghilangkan 87% asid organik yang mampu membuatkan seseorang terkena penyakit batu karang, jika terlalu banyak memakannya.
6. Pakar pemakanan, Jansen Ongko, M.SC..RD memberitahu, proses merebus sayuran dapat mengurangkan kadar polifenol sebesar 38%.
Mengukus
1. Sebatian pada bahan makanan seperti vitamin tetap terpelihara dan tidak mudah rosak ketika proses mengukus kerana ia melibatkan wap panas yang tidak menarik sebatian vitamin yang ada dalam bahan makanan.
2. Mengukus juga membuatkan sebatian beracun seperti sianida atau pestisida keluar dari sayuran.
3. Menurut pakar diet, Nigel Denby, mengukus sayuran dapat mengekalkan zat pemakanan hingga 82%.
4. Menurut Journal of Science if Food and Agriculture, brokoli hanya kehilangan 11% kandungan antioksida ketika dikukus.
5. Pakar pemakanan, Dr.Grace Judio-Kahl, MSc, MH, CHt juga menyarankan supaya mengukus sayuran dan buah-buahan daripada merebusnya terutama sayur yang mengandungi vitamin larut air. Tujuannya supaya vitamin tetap tahan ketika proses mengukus. Caranya, jangan kukus terlalu lama, kekalkan warna hijaunya supaya tetap segar.
6. Ada kajian turut menunjukkan bahawa mengukus sayuran dapat meningkatkan kandungan khasiat dari sayurannya. Kadar polifenol (salah satu jenis antioksida) meningkat hingga 52% kerana proses pemanasannya tidak berlebihan dan sayuran tidak terendam dalam air.
Selepas membaca info kelebihan mengukus berbanding merebus, maka jelas sekali bahawa cara kita memasak makanan mempengaruhi kualiti nutrisinya. Semakin kurang proses memasaknya, maka semakin kekal segala khasiat yang ada terutama jika mahu dihidangkan kepada si manja yang sedang membesar dan memerlukan banyak khasiat zat makanan.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY

No comments:

Post a Comment