Thursday, 2 March 2017

Bayi 2 Bulan Maut Dipercayai Makan Pisang & Biskut. Baca Penjelasan Doktor!


Bayi hanya boleh mula diberikan makanan apabila mencecah usia enam bulan! Ini kerana pada usia ini, penyusuan sahaja tidak mencukupi lagi untuk membekalkan bayi nutrisi yang penting seperti zat besi dan vitamin untuk dia membesar sihat dan cerdas.
Memang betul, zaman dulu nenek moyang kita sudah biasa bagi bayi usia dua bulan makan pisang atau air kanji dan tiada apa-apa yang berlaku. Tetapi sebenarnya mengikut pakar perubatan, memberi makan kepada bayi berusia bawah enam bulan mendedahkan mereka kepada risiko kematian akibat masalah usus tersumbat.
Baru-baru ini, tersebar di laman media sosial tentang kematian seorang bayi berusia dua bulan dari Indonesia akibat diberi makan pisang dan biskut. Mungkin ramai yang meragui benarkah usus bayi boleh membengkak kerana pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang (apatah lagi bila orang tua cakap budak zaman dulu memang biasa makan masa bayi).
Baca penjelasan daripada Dr.Mohd Fadhli Mohd Fauzi di laman facebook beliau tentang hal ini.
DIBERI MAKAN PISANG & BISKUT MARIE, BAYI 2 BULAN INI MENEMUI ILAHI.
Semalam tersebar screenshot whatsapp tentang kematian bayi berusia 2 bulan yang mati dipercayai kerana makan pisang dan biskut marie di Indonesia. Ada orang tanya saya betul ke pisang dan biskut marie boleh menyebabkan kematian tersebut. Ini ulasan saya berdasarkan info terhad pada screenshot whatsapp yang ada.
Info yang ada pada screenshot whatsapp :
1. Bayi berusia 2 bulan.
2. Diberi makan pisang & biskut marie sejak usia 1 bulan
3. Mati kerana pneumoni berat
4. Perut membusung berdasarkan gambar
Pemberian makanan berbentuk pepejal atau semi-pepejal kepada bayi berusia bawah 4-6 bulan berisiko menyebabkan usus sumbat. Antara tandanya ialah perut membusung (abdominal distension) kerana usus membengkak akibat pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang.
Apabila usus sumbat, risiko untuk bayi muntah-muntah adalah tinggi, lebih-lebih lagi jika pemberian minuman atau makanan tetap diteruskan. Kebiasannya muntah (vomitus) ini keluar mengikut mulut dan kadang-kadang hidung atau tertelan semula, namun ia boleh juga masuk ke dalam saluran pernafasan hingga paru-paru (aspiration into the lung) terutamanya bagi bayi.
Apabila muntah ini masuk ke dalam paru-paru, ia menyebabkan keradangan paru-paru (pneumonia) yang boleh mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Jika radang terlalu teruk (severe pneumonia = pneumoni berat), ia boleh menyebabkan kematian.
Pengajarannya, bukan semua petua atau tradisi boleh diikut bulat-bulat. Jika ada petua yang disahkan merbahaya berdasarkan landasan ilmu, tinggalkan sahaja.
Elakkan juga daripada jadi baik tidak bertempat dengan memberi makanan kepada anak orang lain tanpa izin ibubapanya kerana anak itu mungkin ada kontraindikasi kepada makanan tertentu. Niat memang baik, tapi caranya salah.
Beri makanan pelengkap pada usia 6 bulan bermula dengan bentuk semi-pepejal, secair yang boleh dahulu, kemudian baru ditambah kepekatannya mengikut kesesuaian.
Jika bayi muntah-muntah dan perut membusung, dapatkan konsultasi di fasiliti kesihatan dengan segera.
Nota 1 : Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan info terhad pada satu screenshot whatsapp sahaja dan bukannya diagnosis atau situasi sebenar selagi tiada pengesahan daripada pihak terlibat.
Nota 2 : Jangan kambinghitamkan pisang dan biskut marie. Pisang dan biskut marie tidak bersalah.
Sebarkan.

Sumber: Facebook Mohd Fadhli Mohd Fauzi

No comments:

Post a Comment