Tuesday, 14 March 2017

Air Kosong Untuk Bayi. Perlu atau tidak?



Menurut sesetengah pendapat daripada orang lama, bayi perlu diberi air kosong selepas minum susu formula bagi mengelakkan kesan susu pada lidah bayi. Namun boleh kah bayi diberikan air kosong. Tidakkah ia akan memberi kesan kepada bayi. Kemusykilan mengenai memberi air kosong kepada bayi ini bukanlah baru. Malah ramai juga mama yang bertanyakan hal ini.

Air kosong boleh diberikan selepas bayi berusia enam bulan. Ini kerana, bagi bayi yang baru lahir hingga berusia enam bulan, pemakanan terbaik adalah susu ibu. Dan susu ibu sahaja sudah mencukupi bagi bayi pada usia ini. Sekiranya air kosong diberikan pada tempoh masa ini, penyusuan susu ibu secara eksklusif akan terjejas, di mana kebaikan penyusuan secara eksklusif tidak dapat diperoleh secara optimum. Antara kesannya adalah penyusuan susu ibu tidak dapat menjarakkan kehamilan secara semula jadi, yang mana ibu berpotensi untuk hamil lagi.

Pada bayi pula, bayi berisiko dan lebih mudah untuk mendapat jangkitan. Air kosong boleh diberikan apabila bayi sudah berusia enam bulan, di mana makanan pejal juga perlu diperkenalkan pada masa ini. Begitu juga bagi bayi yang sudah pun diberikan bayi dengan susu formula, air kosong boleh diberikan apabila bayi berusia enam bulan dan ke atas. Hakikatnya, sekiranya bayi diberikan susu secukupnya, tidak kira susu ibu atau susu formula, air kosong tidak perlu bagi bayi. Cecair daripada sumber susu sudah mencukupi. Jika dibandingkan daripada sumber khasiat, susu adalah lebih berkhasiat berbanding air kosong yang tidak mempunyai apa-apa nilai kalori dan nutrisi bagi menyokong tumbesaran dan perkembangan bayi. Bagi mengelakkan kesan susu pada lidah bayi, kain lembut yang basah boleh digunakan bagi menggantikan air kosong.

SUMBER : MAJALAHPAMA.MY

No comments:

Post a Comment