Thursday, 23 February 2017

6 Kesilapan Papa Mama Lakukan Ketika Menerapkan Disiplin Pada Anak


Dalam membesarkan anak-anak, papa dan mama disarankan menerapkan disiplin kepada mereka. Mendidik anak menggunakan nilai disiplin mampu mengawal tingkah laku dan membentuk mereka menjadi anak yang berakhlak.
Namun dalam kita menerapkan nilai disiplin pada mereka jangan abaikan beberapa perkara yang mungkin akan membantutkan usaha mendisiplinkan anak.
Apakah kesilapan yang tanpa sengaja dilakukan oleh ibu bapa dan tidak selari dengan nilai disiplin yang ingin diajarkan kepada anak?
1. Tidak hormat anak
Kita selalu pesan pada anak supaya menghormati papa dan mama, jangan ganggu ketika anda sedang sibuk bekerja, bersopan dengan tetamu yang datang ke rumah dan macam-macam lagi. Tetapi dalam masa yang sama kita langsung tidak menghormati anak. Contohnya, kita memarahi anak di depan tetamu atau membandingkan dia dengan anak orang lain. Sepatutnya cara terbaik mengajar anak bersopan dan menghormati orang adalah dengan menunjukkannya contoh.
2. Tidak konsisten
Kadangkala anda menegur dan memarahi anak kerana menyepahkan mainannya, tetapi esok anda buat tak tahu sahaja kalau dia masih lagi menyepah. Namun, hari seterusnya anda kembali marah anak. Anak akan jadi keliru dan bingung dengan perintah anda yang tidak konsisten. Sepatutnya anda bantu anak untuk memperbaiki tingkah lakunya dengan memberikan tunjuk ajar yang jelas tentang apa yang anda harapkan.
3. Kuat membebel
Apabila anda menegur anak sambil marah tentang perbuatannya, anda cenderung menengkingnya sambil membebel perkara yang tidak penting. Kadangkala mengungkit kesalahannya yang lepas atau tingkah lakunya yang buruk. Tambah teruk bila hari tersebut anda sedang 'bad mood', maka kesalahan anak yang tiada kaitan pada hari itu turut menjadi bahan melepas kemarahan anda.
4. Penjelasan panjang lebar
Kemampuan daya fokus kanak-kanak usia 3 - 4 tahun hanya sekitar 5 - 10 minit sahaja. Jadi, buang masa sahaja kalau anda memarahi dan menasihatkannya secara panjang lebar hingga kepenatan kerana anak tidak akan fokus pada apa yang anda katakan.
5. Bukan menghukum
Mungkin ada yang beranggapan disiplin adalah menghukum anak. Sebenarnya mendisiplinkan anak adalah keupayaan anda mendidik anak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengelakkan mereka dari dihukum. Tujuan utama disiplin diterapkan adalah untuk mengajar anak belajar menjadi individu yang boleh mengikut peraturan yang ditetapkan.
6.  Beza ucapan dan perbuatan
Ini selalu berlaku tetapi tidak disedari oleh papa dan mama, bahkan diperhatikan oleh si anak. Anda larang anak menjerit-jerit dalam rumah, tapi dengan nada suara yang tinggi. Anda menyuruhnya makan di meja makan tetapi anda sendiri makan di depan televisyen. Anda menyuruhnya mengemas mainan, tetapi anda meletakkan barangan sendiri bersepah-sepah di atas meja. Jadi, siapa yang bersalah?
Tujuan kita mengajar anak disiplin supaya mereka membesar sebagai anak yang baik, mematuhi peraturan baik di rumah atau di mana-mana, dan menjadi individu yang penuh nilai empati. Tetapi papa dan mama juga perlu menunjukkan disiplin yang telah diajarkan.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY


Wednesday, 22 February 2017

5 Cara Ajak Anak Kenal Allah


Allah adalah Pencipta dan kuasa terulung dalam kehidupan kita. Namun, bagaimanakah caranya untuk kita mempromosikan Allah supaya penghayatannya menyelami jiwa anak-anak.
Mungkin anda antara kita pernah berkata seperti ini, “Buatlah macam tu, nanti di akhirat Allah bakar dia dengan api neraka” ataupun “Eeee, kenapa cakap macam tu? Berdosa, nanti Allah marah..”. Namun, yang agak dikhuatiri tentang dialog-dialog sebegini telah mencipta satu imej negatif tentang Tuhan dalam kotak pemikiran mereka. Ayat-ayat seperti “Nanti Allah marah,” “nanti masuk neraka,” ataupun “Allah benci orang yang sebegini dan sebegini” seolah-olah mem’promosi’kan kebengisan Allah pada kanak-kanak. Sedangkan, Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Sesungguhnya rahmatKu itu mendahului kemurkaanKu” (Riwayat Bukhari & Muslim). Ikuti panduan cara membina tanggapan yang benar pada kanak-kanak tentang Allah.
1.Gunakan sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?” 
2.Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Farisya solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Farisya buat baik dengan mama dan sediakan Farisya pahala banyak-banyak di akhirat nanti!” 
3.Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
4.Kaitkan kejayaan mereka dengan rahmat Allah
Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman.
5.Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.
 SUMBER : MAJALAHPAMA.MY