Tuesday, 7 March 2017

Salah Pilih Botol Susu, Anak Berisiko Dapat Penyakit Berbahaya. Hati-Hati Ya!


Botol susu adalah aksesori wajib ada bagi setiap bayi kecuali yang minum susu ibu secara terus kerana ibunya tidak bekerja. Apabila membeli botol susu untuk si kecil, papa dan mama perlu ada ilmu yang betul tentang perkara ini.
Membeli botol susu anak bukan sekadar memilih yang berharga murah sahaja kerana tanpa disedari botol tersebut berisiko mendedahkan anak kepada penyakit berbahaya untuk jangka masa panjang. Menurut Dr.Taufiq Razif dalam tulisan di facebooknya, botol susu bebas BPA adalah pilihan yang terbaik untuk anak-anak walaupun harganya agak mahal.
Biarlah keluar duit lebih sikit asalkan kesihatan anak kita kurang risikonya.
Botol Bayi Boleh Sebabkan Kanser Pada Bayi Kita?
Tadi saya Taufiq Razif bincang dengan isteri pasal botol susu untuk bayi. Rupanya ramai ibu bapa yang tak tahu pun bahaya botol susu yang ada Bisphenol A ( BPA ) ni.
BPA ni digunakan oleh pengilang untuk keraskan produk plastik mereka. BPA ni memang banyak digunakan dalam industri berasaskan plastik.
Walaupun kajian secara terperinci efek BPA pada manusia belum terbukti lagi tetapi banyak kajian pada haiwan dah mengesahkan bahaya BPA ni.
Antara risiko yang MUNGKIN terjadi akibat terdedah pada BPA adalah :
+ Risiko pada otak dan masalah tingkahlaku. National Toxicology Program di Food & Drug Administration ( FDA ) pun bimbang dengan kemungkinan kesan BPA pada otak dan tingkahlaku pada bayi dan kanak-kanak
+ Beberapa kajian pada haiwan menunjukkan ada hubungkait paparan BPA dengan peningkatan risiko penyakit kanser
+ Dibimbangi juga anak-anak kita yang masih dalam fasa berkembang ni masih tak efektif untuk buang sisa BPA daripada tubuh mereka
+ dan banyak lagi kesan buruk yang lain seperti obesiti dan diabetes walaupun belum dapat dibuktikan efeknya pada manusia lagi
Walaupun benda ni masih hangat diperdebatkan tapi kenapa kita nak anak kita semua terdedah dengan risiko yang amat dasyat ni semua kan?
Sebab tu saya nak kongsi ilmu sikit untuk ibu bapa kat luar sana untuk elakkan paparan BPA pada anak masing-masing. Antaranya :
+ Cari produk yang bebas BPA ( BPA-free ) untuk anak kita. Bila nak pilih botol susu anak tu tengok dulu ada label BPA-free ke tak
+ Gunakan bekas makanan yang bukan plastik untuk anak-anak kita. Bekas yang dibuat oleh porcelain, kaca dan stainless steel lebih selamat dan tak mengandungi BPA
+ Jangan panaskan bekas dan botol plastik yang ada BPA lebih-lebih lagi panaskan dengan microwave. Bahaya!
+ Jangan gunakan botol dan bekas makanan yang retak. Tempat retak tu boleh juga jadi tempat bakteria berkumpul dan BPA juga dikhuatiri boleh bocor ke dalam makanan anak-anak kita
+ Elakkan makanan dalam tin untuk anak kita. Sebab masih banyak tin yang mengandungi BPA ye
Saya nasihat dan bagi tips ni sebab saya taknak anak kita bila dah besar nanti membesar sebagai orang dewasa yang berpenyakit. Dah la hospital kita dah penuh dengan macam-macam penyakit kanser yang pelik-pelik. Semoga anak-anak kita semua terhindar daripada penyakit-penyakit tu semua.
p/s : Saya Taufiq Razif minta jasa baik semua untuk ingatkan keluarga kita semua tentang info penting ni ye. Semoga anak-anak kita semua membesar dalam keadaan sihat walafiat semua ye dan jauh daripada penyakit-penyakit parah ni semua ye.
Sumber: Facebook Taufiq Razif & MAJALAHPAMA.MY


Monday, 6 March 2017

8 Peraturan Guna Gajet Ini Perlu Anak Anda Tahu. Barulah Dapat Kurangkan Ketagihannya


Kemunculan media sosial dan ledakan teknologi mencetuskan lambakan gajet elektronik. Ada ibu bapa mengambil keputusan untuk mendedahkan si manja dengan komputer tablet, telefon pintar, buku interaktif, komputer, permainan atas talian dan sebagainya. Daripada sudut positif, pendedahan awal itu bagus. Namun, jangan sampai ia bertukar negatif dan meninggalkan kesan buruk kepada anak anda.
Sebagai mama dan papa, anda perlu mengambil langkah memantau dan mengehadkan penggunaannya. Hal ini penting supaya perkembangan anak tidak terganggu.
1. Hadkan masa 20 hingga 30 minit untuk setiap sesi dan hanya dua atau tiga sesi sehari.
2. Wujudkan peraturan untuk mengehadkan penggunaan gajet supaya tidak mengganggu waktu tidur iaitu dengan melarangnya menggunakan gajet selepas jam 9.00 malam.
3. Elakkan penggunaan gajet di dalam suasana gelap.  Sinaran blue ray daripada gajet boleh merosakkan mata.
4. Amalkan penggunaan gajet mengikut konsep 20:20:20. Setiap 20 minit menghadap skrin, ambil masa 20 saat untuk memandang jarak 20 kaki.
5. Set pencahayaan minimum pada skrin untuk mengelakkan terlalu terang dan menyebabkan mata menjadi silau.
6. Simpan gajet di tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak anda terutama sekali ketika mengecas untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik dan sebagainya.
7. Gunakan perisian komputer yang membolehkan mama dan papa mengehadkan masa anak menggunakan komputer.
8. Muatkan gajet dengan permainan pendidikan, bukan hiburan semata-mata.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY


Saturday, 4 March 2017

Sebelum Nak Marah & Pukul Anak, Fikir Seketika 4 Perkara Penting Ini!


Jarang sekali ada ibu ayah yang langsung tak pernah menjentik atau memukul anak mereka. Paling tidak pun mesti pernah sekali dua terjentik tangan atau pukul kaki sebab kenakalan mereka.
Kalau bertujuan untuk mendidik memang tak salah, bahkan kalau ikutkan cara orang tua-tua zaman dulu memang mereka mengajar dan mendidik anak dengan pukulan. Kesannya anak takut nak buat nakal lagi.
Tetapi alangkah baiknya kalau kita mencontohi cara Nabi Muhammad S.A.W mendidik anak-anak. Sentiasa berlemah-lembut dengan anak kecil dan hanya menyuruh ibu bapa memukul anak sekiranya mereka engkar mengerjakan solat sahaja. Itu pun bila sudah berumur 10 tahun!
Marilah kita renungkan peringatan dan tip yang dikongsikan oleh Puan Ashikin Hashim, yang juga seorang ibu dan guru besar tadika dalam facebook beliau.
Tip berlemah lembut dan tidak memukul anak.
Nabi pukul anak tak? Apa nasihat Nabi dan saranan baginda dalam mendidik anak?
Saya suka menjadikan hadith Nabi berkenaan solat sebagai motivasi dalam mendidik anak-anak.
Baginda menyebutkan tentang menyuruh anak solat pada umur 7 tahun dan memukul jika anak engkar SOLAT pada umur 10 tahun.
Umur 10 tahun baru boleh pukul. Itu pun sebab TIDAK SOLAT. Nabi bagi masa 10 tahun untuk didik anak berkenaan solat.
BUKAN sebab tak siap homework.
BUKAN sebab sakat adik.
BUKAN sebab tumpahkan air.
BUKAN sebab mengada-ngada.
BUKAN sebab tak nak pergi sekolah.
BUKAN sebab pecahkan pinggan.
BUKAN sebab makan bersepah.
Tidak pernah kita melihat mana-mana hadith yang menceritakan tentang Nabi memukul anak mahupun cucu baginda.
Tapi hadith tentang kasihnya Nabi pada anak kecil, ada. Hadith tentang Nabi bermain dengan cucu baginda, ada. Nabi berlemah lembut dan bersifat ihsan terhadap anak kecil, ada. Hadith melarang menipu anak kecil, ada.
Jika rasa nak marah atau nak pukul anak, fikirkan ini dahulu:
1. Ingat hadith tentang solat.
2. Anak umur berapa? Kita umur berapa? Siapa yang lebih berumur dan berakal. Adilkah pukulan umur 30 tahun terhadap anak berumur 7 tahun yang tiada daya dan upaya?
3. Dapatkan bantuan dan sokongan. Dari suami/isteri. Dari support group. Dari kawan-kawan. Dari saudara mara jika tak dapat handle anak.
4. Banyakkan tuntut ilmu. Baca buku. Jumpa pakar. Saya sarankan baca buku TARBIYATUL AULAD oleh DR ABDULLAH NASIH ULWAN.
Ya Rasulullah. Kami malu padamu. Kami selalu tersasar dari sunnah dan ajaranmu. Kadang kami lupa bahawa engkau lah yang paling mengasihi anak kecil tapi kami tidak mengasihi mereka sepenuh jiwa dan rasa.
Engkau menganjurkan berkasih sayang, tapi kami bongkak mendabik dada - aku ayah! Kau kena dengar cakap ayah!
Engkau mengajurkan berlemah lembut, tapi kami cubit, sepak, tendang, pukul tanpa belas ihsan sampai ada yang mati di tangan ibu bapa mereka sendiri.
Sollu 'alannabiy!
~Mak Pengetua~

Sumber: Facebook Ashikin Hashim & MAJALAHPAMA.com

Thursday, 2 March 2017

Bayi 2 Bulan Maut Dipercayai Makan Pisang & Biskut. Baca Penjelasan Doktor!


Bayi hanya boleh mula diberikan makanan apabila mencecah usia enam bulan! Ini kerana pada usia ini, penyusuan sahaja tidak mencukupi lagi untuk membekalkan bayi nutrisi yang penting seperti zat besi dan vitamin untuk dia membesar sihat dan cerdas.
Memang betul, zaman dulu nenek moyang kita sudah biasa bagi bayi usia dua bulan makan pisang atau air kanji dan tiada apa-apa yang berlaku. Tetapi sebenarnya mengikut pakar perubatan, memberi makan kepada bayi berusia bawah enam bulan mendedahkan mereka kepada risiko kematian akibat masalah usus tersumbat.
Baru-baru ini, tersebar di laman media sosial tentang kematian seorang bayi berusia dua bulan dari Indonesia akibat diberi makan pisang dan biskut. Mungkin ramai yang meragui benarkah usus bayi boleh membengkak kerana pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang (apatah lagi bila orang tua cakap budak zaman dulu memang biasa makan masa bayi).
Baca penjelasan daripada Dr.Mohd Fadhli Mohd Fauzi di laman facebook beliau tentang hal ini.
DIBERI MAKAN PISANG & BISKUT MARIE, BAYI 2 BULAN INI MENEMUI ILAHI.
Semalam tersebar screenshot whatsapp tentang kematian bayi berusia 2 bulan yang mati dipercayai kerana makan pisang dan biskut marie di Indonesia. Ada orang tanya saya betul ke pisang dan biskut marie boleh menyebabkan kematian tersebut. Ini ulasan saya berdasarkan info terhad pada screenshot whatsapp yang ada.
Info yang ada pada screenshot whatsapp :
1. Bayi berusia 2 bulan.
2. Diberi makan pisang & biskut marie sejak usia 1 bulan
3. Mati kerana pneumoni berat
4. Perut membusung berdasarkan gambar
Pemberian makanan berbentuk pepejal atau semi-pepejal kepada bayi berusia bawah 4-6 bulan berisiko menyebabkan usus sumbat. Antara tandanya ialah perut membusung (abdominal distension) kerana usus membengkak akibat pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang.
Apabila usus sumbat, risiko untuk bayi muntah-muntah adalah tinggi, lebih-lebih lagi jika pemberian minuman atau makanan tetap diteruskan. Kebiasannya muntah (vomitus) ini keluar mengikut mulut dan kadang-kadang hidung atau tertelan semula, namun ia boleh juga masuk ke dalam saluran pernafasan hingga paru-paru (aspiration into the lung) terutamanya bagi bayi.
Apabila muntah ini masuk ke dalam paru-paru, ia menyebabkan keradangan paru-paru (pneumonia) yang boleh mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Jika radang terlalu teruk (severe pneumonia = pneumoni berat), ia boleh menyebabkan kematian.
Pengajarannya, bukan semua petua atau tradisi boleh diikut bulat-bulat. Jika ada petua yang disahkan merbahaya berdasarkan landasan ilmu, tinggalkan sahaja.
Elakkan juga daripada jadi baik tidak bertempat dengan memberi makanan kepada anak orang lain tanpa izin ibubapanya kerana anak itu mungkin ada kontraindikasi kepada makanan tertentu. Niat memang baik, tapi caranya salah.
Beri makanan pelengkap pada usia 6 bulan bermula dengan bentuk semi-pepejal, secair yang boleh dahulu, kemudian baru ditambah kepekatannya mengikut kesesuaian.
Jika bayi muntah-muntah dan perut membusung, dapatkan konsultasi di fasiliti kesihatan dengan segera.
Nota 1 : Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan info terhad pada satu screenshot whatsapp sahaja dan bukannya diagnosis atau situasi sebenar selagi tiada pengesahan daripada pihak terlibat.
Nota 2 : Jangan kambinghitamkan pisang dan biskut marie. Pisang dan biskut marie tidak bersalah.
Sebarkan.

Sumber: Facebook Mohd Fadhli Mohd Fauzi

Wednesday, 1 March 2017

6 Rahsia Bayi, Mama Papa Mesti Tahu. Pasti Hilang Stress!


Sukar diungkap dengan kata-kata momen pertama melihat dan menyentuh bayi yang baru dilahirkan. Jari jemarinya yang halus dan kulitnya yang mulus. Memangkan mendamaikan. Bagaikan tidak percaya. Namun itulah anugerah permata yang tidak ternilai harganya buat seorang ibu dan ayah. Ada 6 rahsia tentang bayi yang membuatkan anda berasa damai dan tenang kala melihatnya. Jom ketahui rahsianya!

1.Menggeliat
Sungguh indah melihat bayi kecil ini menggeliat lembut. Hati pula terasa tenang apabila melihat gerakan kecil anak tersayang.  Ada sesetengah bayi menggeliat sehingga badannya membentuk seperti huruf ‘S’ (dalam posisi mengiring). Kata orang tua-tua, bayi yang suka menggeliat cepat membesar. Namun tidak pasti sejauh makan kebenarannya. Ketika bayi menggeliat, pantau agar kulit mukanya tidak dicakar kukunya.

2.Menghisap jari
Damainya hati ibu kala melihat bayi menghisap jari. Comelnya permata hati mama setiap kali menghisap jarinya. Bagaimanapun ibu perlu pastikan jari si kecil anda itu sentiasa bersih agar tidak terkena sebarang jangkitan ketika menghisap jarinya. Apabila tiba masanya, latihlah si kecil anda itu untuk meninggalkan tabiat itu.

3.Menyusu susu ibu
Sejak hamil, ibu nekad untuk susukan bayi selama yang mungkin. Dan pastinya bayi anda sangat bertuah kerana mendapat ‘titisan emas’ daripada seorang ibu yang sentiasa menyayangi dan melindunginya. Sentuhan kulit ke kulit apabila anda melakukan penyusuan susu ibu akan memberikan kenikmatan yang tidak ternilai buat bayi anda.

4.Dipeluk dan dicium
Tahukah anda bayi sangat suka dipeluk, dicium dan disayang? Dan dia sangat gembira jika anda berdua melakukannya. Pelukan yang kerap juga akan membantu merangsang perkembangan emosi dan fizikalnya. Malah anda juga akan merasa magis sentuhan kasih sayang antara anda dan si anak. Jadi, pesanan penting untuk ibu dan ayah, luangkanlah masa sebanyak mungkin bersama si kecil anda itu. Pastinya segala masalah akan berlalu dengan begitu sahaja. Anda pastinya tersenyum sepanjang hari bersama bayi tersayang.

5. Bayi menguap
Bayi juga kerap menyuap. Comelnya! Situasi ini begitu   ‘menakjubkan’ apabila melihat mulut mungil bayi terbuka luas. Namun, jangan lupa itu untuk menutup dengan tangan anda. Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." Riwayat Imam Muslim. yang datang daripada permata hati anda. Justeru,anda harus segera menutup mulutnya jika bayi menguap

6.Senyum dan ketawa
Melihat dan mendengar gelak tawa si anak antara yang paling dirindu ibu bapa. Walaupun bayi anda masih ‘merah’, mereka juga pandai tersenyum apabila diagah dengan pelbagai intonasi suara dengan memek muka anda yang menghiburkan. Jadi, ibu dan ayah usahlah terlalu serius apabila berdepan dengan si kecil anda yang memang suka ketawa. Ada kala kita pula yang ketawa melihat dia ketawa.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY


10 Fakta Pakar Tentang Yogurt Bagus Untuk Anak Terutama Ketika Cirit-Birit. Mula Bagi Anak Sekarang!


"Yogurt ni kena sorokkan daripada Aina. Dia suka sangat makan yogurt. Pantang nampak, asyik nak je. Risau pulak kalau sehari makan lebih dari satu bekas yogurt!"
Yogurt memang makanan yang berkhasiat kerana ia mengandungi kandungan kalsium yang tinggi. Tetapi bolehkah kanak-kanak berusia 18 bulan ke atas makan yogurt dengan kerap? Apakah kesannya terhadap kesihatan anak jika dia makan terlalu banyak yogurt dalam sehari?
Sebelum anda risau anak terlalu obses makan yogurt, lebih baik baca fakta tentang yogurt seperti yang diberitahu oleh Pakar Pemakanan, Kimberly Wong Yuin Y'ng dalam doktorbudak.com
1. Yogurt sememangnya sumber kalsium terbaik kepada kanak-kanak dan sangat penting untuk pembentukan tulang yang sihat.
2. Kandungan yogurt terdiri daripada susu solid, sukrosa, lemak susu, vitamin dan campuran kultur hidup.
3. Jumlah kalsium dalam yogurt iaitu kira-kira 200mg, bersamaan dengan hampir 6 auns susu.
4. Pengambilan kalsium yang disarankan kepada kanak-kanak berusia 1 - 3 tahun adalah sebanyak 500 mg.
5. Kandungan campuran kultur hidup yang dikenali sebagai lactobacteria menggalakkan usus yang sihat. Yogurt biasanya boleh diterima oleh usus yang 'cedera', terutama ketika anak sedang mengalami cirit-birit.
6. Walaupun anak anda mempunyai masalah 'lactose intolerance', yogurt tidak boleh dielakkan kerana laktosa di dalamnya telah bertukar kepada asid laktik.
7. Tetapi yogurt yang ada di pasaran biasanya dibuat lebih manis untuk meningkatkan kesedapannya.
8. Dalam kandungan yogurt, gula atau sukrosa didatangkan dalam bentuk karbohidrat. Contohnya, jika jumlah karbohidrat adalah 20g, ia bermakna paras gula sebanyak 4 sudu kecil.
9. Sebaiknya pengambilan kalori di kalangan kanak-kanak berusia 1 - 3 tahun ialah sebanyak 1000 kalori sehari. Pengambilan gula tidak boleh lebih daripada 150 kalori atau 15% daripada jumlah sehari. Ini bersamaan dengan 7 sudu kecil gula.
10. Tiga sudu besar yogurt bersamaan 50 kalori, dan mengandungi 2 sudu kecil gula.
Berdasarkan info fakta berkenaan maka lebih baik anda beri si manja yogurt berperisa ASLI berbanding yang manis. Bahkan anda juga boleh cuba buat sendiri yogurt bagi mengelakkan penggunaan bahan pengawet.

Untuk menyedapkan rasa yogurt asli yang kurang digemari oleh si kecil, apa kata tambahkan campuran buah-buahan segar yang dikisar atau dilenyekkan, bijirin kegemaran anak atau beberapa titis madu, atau boleh dijadikan sebagai pencecah untuk biskut! Anda juga boleh bekukan yogurt (tambah sedikit buah kisar kegemaran) untuk dijadikan aiskrim yang sedap dan menyihatkan.

SUMBER : MAJALAHPAMA.MY

Thursday, 23 February 2017

6 Kesilapan Papa Mama Lakukan Ketika Menerapkan Disiplin Pada Anak


Dalam membesarkan anak-anak, papa dan mama disarankan menerapkan disiplin kepada mereka. Mendidik anak menggunakan nilai disiplin mampu mengawal tingkah laku dan membentuk mereka menjadi anak yang berakhlak.
Namun dalam kita menerapkan nilai disiplin pada mereka jangan abaikan beberapa perkara yang mungkin akan membantutkan usaha mendisiplinkan anak.
Apakah kesilapan yang tanpa sengaja dilakukan oleh ibu bapa dan tidak selari dengan nilai disiplin yang ingin diajarkan kepada anak?
1. Tidak hormat anak
Kita selalu pesan pada anak supaya menghormati papa dan mama, jangan ganggu ketika anda sedang sibuk bekerja, bersopan dengan tetamu yang datang ke rumah dan macam-macam lagi. Tetapi dalam masa yang sama kita langsung tidak menghormati anak. Contohnya, kita memarahi anak di depan tetamu atau membandingkan dia dengan anak orang lain. Sepatutnya cara terbaik mengajar anak bersopan dan menghormati orang adalah dengan menunjukkannya contoh.
2. Tidak konsisten
Kadangkala anda menegur dan memarahi anak kerana menyepahkan mainannya, tetapi esok anda buat tak tahu sahaja kalau dia masih lagi menyepah. Namun, hari seterusnya anda kembali marah anak. Anak akan jadi keliru dan bingung dengan perintah anda yang tidak konsisten. Sepatutnya anda bantu anak untuk memperbaiki tingkah lakunya dengan memberikan tunjuk ajar yang jelas tentang apa yang anda harapkan.
3. Kuat membebel
Apabila anda menegur anak sambil marah tentang perbuatannya, anda cenderung menengkingnya sambil membebel perkara yang tidak penting. Kadangkala mengungkit kesalahannya yang lepas atau tingkah lakunya yang buruk. Tambah teruk bila hari tersebut anda sedang 'bad mood', maka kesalahan anak yang tiada kaitan pada hari itu turut menjadi bahan melepas kemarahan anda.
4. Penjelasan panjang lebar
Kemampuan daya fokus kanak-kanak usia 3 - 4 tahun hanya sekitar 5 - 10 minit sahaja. Jadi, buang masa sahaja kalau anda memarahi dan menasihatkannya secara panjang lebar hingga kepenatan kerana anak tidak akan fokus pada apa yang anda katakan.
5. Bukan menghukum
Mungkin ada yang beranggapan disiplin adalah menghukum anak. Sebenarnya mendisiplinkan anak adalah keupayaan anda mendidik anak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengelakkan mereka dari dihukum. Tujuan utama disiplin diterapkan adalah untuk mengajar anak belajar menjadi individu yang boleh mengikut peraturan yang ditetapkan.
6.  Beza ucapan dan perbuatan
Ini selalu berlaku tetapi tidak disedari oleh papa dan mama, bahkan diperhatikan oleh si anak. Anda larang anak menjerit-jerit dalam rumah, tapi dengan nada suara yang tinggi. Anda menyuruhnya makan di meja makan tetapi anda sendiri makan di depan televisyen. Anda menyuruhnya mengemas mainan, tetapi anda meletakkan barangan sendiri bersepah-sepah di atas meja. Jadi, siapa yang bersalah?
Tujuan kita mengajar anak disiplin supaya mereka membesar sebagai anak yang baik, mematuhi peraturan baik di rumah atau di mana-mana, dan menjadi individu yang penuh nilai empati. Tetapi papa dan mama juga perlu menunjukkan disiplin yang telah diajarkan.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY